Usai mengerjakan solat Asar petang itu, saya termenung sendirian. Rasa seperti ada sesuatu yang tidak kena dalam diri saya. Fikiran saya melayang-layang jauh entah ke mana. Tergiang-ngiang di telinga saya patah-patah kata yang terbit dari mulut Ustaz Syukri ketika menghadiri kuliah Maghrib di surau.
“Solat itu, mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar. Orang yang bersolat sebenarnya dapat mendidik dirinya daripada melakukan maksiat. Seandainya kita masih lagi melakukan maksiat, walaupun sudah bersolat, check balik solat kita, adalah yang tak kena tang mana...”
Bila fikir-fikir balik, saya membuat tafsiran sendiri. Benarkah solat yang kita lakukan ini sudah bertepatan dengan apa yang disyariatkan? Dari sudut rukun-rukunnya, sunat-sunatnya dan wajibnya sudah sempurna. Tetapi di sana ada nilai rohani perlu diterap supaya roh solat bukan hanya pada rukun fi’li sahaja. Setelah dikaji dari pelbagai sudut, saya membuat andaian; seseorang yang bersolat perlu ada padanya beberapa perkara ini.
Pertamanya menunaikan solat dengan sifat kehambaan. Bukan mudah nak dapatkan sifat kehambaan ini. Bukan calang-calang orang yang boleh merasainya. Hatta orang yang sudah banyak beribadah pun belum tentu memperolehinya. Tetapi kita sendiri boleh semak, sudahkah tersemai dalam diri sifat kehambaan. Orang yang memiliki sifat ini akan berasa malu, takut, cinta dan lemah diri terhadap Allah. Pupuklah solat untuk melahirkan kehambaan dan keabdian dengan merasakan empunya diri ini hanyalah hak mutlak Allah. Bila-bila sahaja boleh diambil semula.
Antara bukti kita sudah memiliki sifat kehambaan adalah; Apabila kita sentiasa merasai diri diawasi tuhan di mana sahaja, bila-bila masa dan dalam apa keadaan sekalipun. Kita rasa berdosa setiap masa dan kita menderita dengan dosa itu. Terbit rasa syukur dengan segala nikmat Allah, dan timbul pula dalam diri rasa kurang beramal. Seterusnya rasa hina diri dengan Tuhan. Itulah tanda kita sudah menghambakan sepenuhnya diri kepada Allah.
Keduanya, mesti letakkan dalam diri bahawa solat yang kita tunaikan itu bukan untuk kita, tetapi untuk Allah. Umpama seorang rakyat yang ingin mempersembahkan sesuatu kepada rajanya. Sudah tentulah barang-barang yang dibawanya yang baik. Buah-buahan yang elok, pakaian yang cantik dan sebagainya. Barulah diterima oleh raja itu. Begitu jualah Allah yang mewajibkan solat itu, malah lebih-lebih lagi. Jika solat yang dilakukan hanya ala kadar atau cincai-cincai, bukan setakat hendak terima, nak tengok pun dah tak lalu.
Sewajarnya natijah solat itu akan menimbulkan suatu ketaatan kepada Yang Mencipta. Bahkan, sifat ini akan bertambah dari semasa ke semasa. Ketaatan yang ‘taat’ ataupun ‘taat di dalam taat’ bukannya derhaka dalam ibadah. Barulah dinamakan solat yang ‘kamil’ atau sempurna. Solat yang lahir dan batin, serta roh dan jiwa solat itu meresapi segenap hati dan jiwa seseorang. Dengan itu segala tidak-tanduk dan perilaku diterjemahkan dengan sifat solat yang disebutkan tadi. Inilah yang dinamakan solat itu dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.
Insya Allah jika sifat-sifat di atas disemai dan dibajai di dalam jiwa, tidak akan tertolaklah solat kita bahkan ibadah-ibadah yang lain. Janganlah kita jadi manusia yang Allah melemparkan semula ibadah yang dilakukan ke atas muka kita sendiri dengan sebab murah, buruk dan cincainya ibadah kita.

No comments:
Post a Comment